Kami tinggal di salah sebuah pangsapuri kecil di kompleks bangunan bertingkat yang menempatkan kediaman untuk sejumlah keluarga daripada golongan kelas pertengahan. Akan tetapi, jumlah suku sakat Felis Domestica yang menghuni kompleks bangunan tersebut berkemungkinan melebihi jumlah penghuni asal. Hal ini disebabkan oleh kesemua binatang berkaki empat dengan kuku yang boleh dilekap itu (dan cukup bermegah dengan keluarga sepupu mereka – Singa, Harimau, Lynx dan Ocelot) langsung tidak gentar dengan sesiapa pun di kawasan kediaman ini. Tambahan lagi, peningkatan populasi binatang yang memiliki sembilan nyawa beserta kuku tajam itu sememangnya menghilangkan ketenteraman semua penduduk, tetapi turut mencuit hati orang ramai.
Kucing-kucing yang menetap di sini mempunyai peraturan ketat mereka sendiri berkenaan kawasan. Kucing yang mahir menangkap tikus akan mendiami ruang di tingkat bawah, tingkat satu dan tingkat dua. Melainkan apabila mereka kelaparan, kucing-kucing tersebut akan menyelinap masuk ke dapur melebihi had kawasan. Sementara itu, ruangan beranda dikhususkan untuk anak-anak kucing dan kadangkala didiami oleh kucing bangsawan seperti kucing Siam untuk menjilat-jilat tubuhnya dan berjemur di bawah sinaran matahari. Beberapa ekor kucing jantan pula akan mendiami sudut-sudut yang bersesuaian untuk memperoleh tidur yang nyenyak di ruang yang kecil seperti di pondok pengawal, di mana mereka akan menemui pengawal yang sedang tidur-tidur ayam. Kucing-kucing ini telah dianugerahkan Tuhan dengan dua kotak suara untuk menghasilkan bunyi ‘purr’ dan mengiau. Pada malam-malam tertentu, bunyi soprano kucing akan kedengaran di kediaman kami dan menyebabkan semua penduduk terjaga dek orkestra buatan mereka.
Sebahagian penduduk yang sering mengelakkan kekotoran tak ubah seperti kucing yang memakai ‘patten’ (menyerupai terompah) berasa sakit hati apabila kucing-kucing kelabu menyepahkan barangan milik mereka. Mereka yang bersifat agresif pula merasakan bahawa kesemua kucing tersebut mesti dihalau menggunakan cemeti berekor sembilan. Akan tetapi, penduduk-penduduk yang terhibur dengan kucing-kucing itu menanti-nantikan aksi lincah mereka yang seterusnya. Apa-apa pun, kami tidak tahu siapa yang akan bertanggungjawab untuk menguruskan kucing-kucing berkenaan!