Kami tinggal di salah sebuah pangsapuri kecil di kompleks bangunan bertingkat yang menyediakan penginapan kepada beberapa keluarga kelas menengah. Namun, ahli keluarga Felis Domestica yang suka berkunjung ke kompleks kami mungkin melebihi jumlah anggota Homo Sapiens. Hal ini kerana populasi berkaki empat dengan kuku boleh sentut dan boleh bermegah-megah dengan sepupunya (Singa, Harimau, Kucing Liar dan Harimau Oselot) ini tidak takut kepada sesiapa dalam persekitaran kami. Peningkatan populasi kucing yang memiliki sembilan nyawa menjadi gangguan kepada semua orang tetapi menghiburkan ramai.
Kucing-kucing ini mempunyai sempadan sendiri di kawasan laluan kami. Kumpulan penangkap tikus di tingkat bawah, tingkat pertama dan tingkat kedua menetap di tingkat masing-masing kecuali semasa kelaparan melintasi batas kawalan dan menyerbu ke dapur. Teres pula dikhaskan untuk kumpulan kucing muda dan kadang-kadang digunakan oleh kumpulan bangsawan Siam untuk menjilati badan dan berjemur. Sebilangan kucing jantan mencari sudut yang selesa untuk tidur tanpa ruang lebihan untuk kucing lain, misalnya di kabin penjaga yang pemiliknya mungkin sedang melelapkan mata. Tuhan telah mengurniakan kucing dua peti suara, iaitu satu untuk berdengkur dan satu lagi untuk mengiau. Kucing yang bersuara soprano membuat semua penghuni di sini terjaga dengan persembahan orkestra nokturnal sempena upacara khas.
Sesetengah penghuni yang suka kebersihan berasa marah apabila kucing-kucing kelabu ini mengotori barang-barang mereka. Penghuni yang agresif berasa kucing-kucing ini harus dihalau dengan cambuk. Mereka yang pendamai pula ragu-ragu dan menangguh untuk bertindak. Sememangnya kami tidak tahu siapa yang akan berani mencabar kucing!